Teknik Mengurus Aliran Tunai

Mempunyai Bajet Perbelanjaan Peribadi adalah langkah permulaan, ia bukanlah proses terakhir. Apa yang anda lakukan memang bagus tetapi belum cukup bagus lagi. Anda perlu memantau perbelanjaan sebenar setiap hari.
Anda perlu menguruskan aliran tunai.
Hakikat sebenar kehidupan, wang yang masuk ke dalam poket anda hanya sekali sahaja (bagi mereka yang bekerja makan gaji) dalam sebulan. Manakala wang yang keluar dari poket setiap hari. Menyedari keadaan itu, aliran keluar wang perlu dikawal. Macam mana nak kawal? Anda perlu mencatat segala yang keluar daripada poket anda dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang paling besar sekali. Nak tahu macam mana kedudukan aliran tunai anda?

Formula aliran tunai cukup mudah iaitu:-
A – Jumlah wang tunai yang diterima bagi tempoh tersebut
B – Jumlah wang keluar bagi tempoh tersebut
Lebihan Tunai / Defisit Tunai = A – B

Senang bukan! Yang penting, poket anda mesti mempunyai aliran wang masuk setiap bulan, biasanya datang daripada pekerjaan anda. Tak kira dari mana datangnya duit itu sama ada daripada gaji atau sumber pendapatan lain. Anda tidak boleh tidak mesti mempunyai pendapatan bagi menyara kehidupan. Kalau tidak, siapa yang nak menanggungnya? Takkan orang lain pula yang menanggung perbelanjaan anda. Jadi, andalah yang kena tanggung sendiri!

Selain daripada gaji, anda mungkin mempunyai sumber pendapatan yang lain seperti perniagaan, keuntungan yang diperolehi daripada simpanan dan pelaburan, sewa rumah dan komisen jualan. Jadi, semua sumber pendapatan ini mesti dicatat.

Aliran keluar pada kebiasaannya meliputi perbelanjaan sara hidup, bayaran pinjaman dan komitmen kewangan yang lain. Jika anda mempunyai lebihan wang tunai, anda sememangnya seorang yang hebat! Saya mempunyai seorang rakan yang bekerja makan gaji di siang hari tetapi apabila beliau pulang ke rumah, beliau menebar roti canai sebanyak 300 keping sehari. Roti yang telah siap ditebar dan digoreng kemudiannya dihantar ke kilang automotif yang berdekatan. Pendapatan yang beliau perolehi daripada kerja menebar roti canai melebihi gaji beliau.

Cuba anda bayangkan, berapakah wang yang rakan saya perolehi dalam sebulan. Setiap hari 300 keping roti canai dihantar ke kilang. Harga sekeping roti canai katalah RM0.60 jika didarab dengan 300 sudah jadi RM180.00 sehari. Dalam sebulan ada 30 hari bekerja (hari-hari kerja) sudah jadi RM5,400.00. Banyakkan? Kalah gaji pengurus. Biasanya gaji pengurus pun RM4,000.00. Ini RM5,400.00! Hebat ….. Jadi, wang yang lebih tu, masukkan ke dalam simpanan anda. Ingat! Langit tak selalu cerah. Kontrak bekalan ke kilang boleh ditamatkan pada bila-bila masa. Manalah tahu ada sedikit perselisihan, kontrak pun tamat dan kehidupan anda pun jadi biasa semula.

Walaubagaimanapun, jika terdapat defisit tunai, anda perlu mengkaji semula cara perbelanjaan anda. Cuba tangguhkan apa-apa pembelian atau bayaran buat sementara waktu dan elakkan daripada menggunakan dana kecemasan kecuali hanya benar-benar perlu. Sekiranya anda terpaksa menggunakan kad kredit, pastikan ini merupakan pilihan terakhir kerana bayaran kad kredit hanya menambahkan lagi perbelanjaan bagi beberapa bulan yang akan datang.

Apabila menyediakan bajet belanjawan bagi bulan depan, pastikan anda mengambil kira baki bulan lepas. Pastikan anda sentiasa mengkaji dan menyemak semula kedua-dua bajet dan perbelanjaan.
Jika anda berhasrat hendak mengurangkan perbelanjaan, lihat semula perbelanjaan yang tidak perlu atau mana yang boleh dikurangkan. Cara yang paling baik sekali ialah melihat semula peruntukan perbelanjaan bagi makanan dan hiburan. Anda mungkin terpaksa mengubah matlamat kewangan sekiranya sesetengah perbelanjaan ini tidak realistik berbanding pendapatan bulanan anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan