Teknik Asas Menguruskan Wang

Dalam perancangan kewangan, antara perkara yang paling penting ialah membuat bajet ataupun belanjawan. Saya ingin menyarankan kepada anda agar membuat bajet pada hari anda menerima gaji bulanan ataupun pada awal bulan.

Semasa menyediakan Bajet Bulanan Peribadi ini, perkara-perkara berikut hendaklah dijadikan asas dan garis panduan:-

1. Lihat semula matlamat kewangan anda. Bandingkan bajet dengan matlamat kewangan untuk memastikan anda dapat mampu mencapainya. Sebagai contoh, jika anda menetapkan matlamat untuk membeli sebuah kereta Vios 1.5J (MT) berharga RM71,990.00 dalam masa setahun, anda perlu menyediakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kereta iaitu sebanyak RM7,199.00 untuk bayaran pendahuluan. Ini bermakna, anda perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM599.92 setiap bulan.

2. Buat anggaran pendapatan mengikut tempoh bajet (biasanya sebulan). Antara pendapatan utama ialah gaji. Selain daripada gaji, mungkin ada elaun, komisen jualan, sewa rumah, sewa tanah, sewa kereta, bayaran tenaga pengajar, kenaikan gaji, bonus, upah menjaga anak jiran, tuntutan bayaran dan lain-lain sumber kewangan.

3. Buat satu polisi untuk diri anda sendiri yang anda akan menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda untuk tabungan. Lebih besar tabungan, lebih baik seperti 20-30% kerana tabungan persaraan anda akan menjadi lebih besar.

4. Simpan sebahagian daripada pendapatan anda untuk dana kecemasan. Sebenarnya, apa pun boleh terjadi yang anda tidak sangka-sangka umpamanya kereta rosak, sakit yang memerlukan bayaran rawatan segera dan sebagainya. Dengan adanya simpanan, anda mampu mengurangkan kesan malapetaka itu.

5. Buat anggaran untuk Perbelanjaan Tetap bagi tempoh bajet. Perbelanjaan tetap adalah perbelanjaan yang perlu dibayar atau dibelanjakan seperti sewa rumah, ansuran pinjaman kereta, pembayaran kad kredit dan premium insurans. Dalam erti kata yang lain, anda mesti tidak boleh tidak membayarnya.

6. Buat anggaran Perbelanjaan Boleh Ubah bagi tempoh bajet. Perbelanjaan Boleh Ubah pula ialah perbelanjaan yang tidak tetap seperti petrol, barang-barang dapur, bil elektrik dan air.

7. Anggarkan perbelanjaan mengikut Budi Bicara, iaitu bagi sesuatu yang anda mempunyai pilihan sama ada untuk berbelanja ataupun tidak seperti pembelian hadiah, keperluan hobi, hiburan dan pergi melancong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan